Top Blogs

Sunday, December 2, 2012

Home » » Pasir Mas bandar koboi?

Pasir Mas bandar koboi?

image (3)

PASIR MAS –

Mengikut sejarah, kewujudan Pasir Mas dipercayai dibuka sekitar abad ke-14. Di sepanjang tempoh itu, penduduk merasai kemajuan baik dari segi ekonomi, politik, sosial bahkan kebudayaan.

Namun persoalan mula timbul, apabila perkembangan tersebut dilihat terhenti dan tidak berkembang mengikut peredaran masa.
Penduduk, Jaafar Ab Rahman, 47, berkata, kebanyakan premis perniagaan di bandar ini masih mengekalkan struktur berkayu, yang dipercayai dibina lebih 60 tahun dahulu.
Menurutnya, premis di sini perlu dicat semula bagi menambahkan keceriaan bandar, agar imej bandar tidak disalah ertikan sebagai bandar koboi.
“Saya percaya masih ada segelintir pemilik kedai menggunakan sistem pendawaian lama dan ia diragui dari segi keselamatan. Siapakah yang dipertanggungjawabkan menambah baik bangunan perniagaan di sini. Adakah pemilik kedai ataupun pihak berkuasa?” katanya.
Sementara itu, penduduk, Muhamad Aliff Mohd Hadi, 21, berkata, dia mengagumi struktur binaan di bandar Pasir Mas kerana ia mempunyai nilai estetika yang tinggi.
“Saya berpuas hati dengan kerja yang dijalankan pihak berkenaan, kerana ia mengimbau kenangan di sepanjang saya membesar di bandar ini.
Namun saya juga tidak kisah sekiranya ada usaha mahu meningkatkan keceriaan bandar, selagi mana ia tidak mengabaikan nilai sejarahnya,” katanya, semalam.
Ini kerana katanya, suasana itu akan menjadi bahan sejarah kepada generasi masa depan.
Menurutnya, biarpun 20 tahun akan datang, dia tidak kisah melihat bandar yang sama , sepertimana hari ini.
Namun katanya, biarlah ia mengikut peredaran dan tidak terlalu mundur sehingga dibandingkan dengan bandar dan negeri lain.
Sementara itu, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 51, berkata, dia risau sekiranya bandar ini tidak berubah, ia akan memberi kesan kepada ekonomi di masa depan.
Menurutnya, pembukaan Bandar Baru Pasir Mas di Lubok Jong kelak, mungkin akan mengurangkan bilangan pengunjung ke bandar ini.
“Semua pusat pentadbiran akan berpindah ke sana, maka peniaga di sini akan menerima tempias sehingga ia benar-benar berubah kepada bandar koboi. Kita perlu menangani masalah ini dari sekarang, agar tidak menghadapi masalah yang sama seperti di sesetengah daerah di negeri ini,” katanya, semalam.
Menurutnya, sekiranya perkara ini berlaku, ekonomi akan merudum, peniaga tiada sumber pendapatan tetap, tiada lagi pengunjung bertandang ke sini malah bandar koboi ini hanya akan dipenuhi oleh warga emas.
Ketua Jajahan Pasir Mas, Mohd Ghazali Mohamad berkata, Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) tidak bertanggung jawab ke atas premis perniagaan persendirian di bandar ini.
Menurutnya, peniaga sepatutnya menceriakan bangunan rumah kedai masing-masing, baik dari segi kos mengecat, baik pulih sistem pendawaian dan keceriaan lain.

Sinar

No comments:

Post a Comment

Popular Artikel dari AC

Iklan Berbayar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...