Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, telah mengikat tali 
pertunangan dengan seorang gitaris,
 Mohd Eddie Ghazali, 45,  dalam satu 
majlis yang diadakan di kediaman wanita itu di Ukay Perdana, Ampang di 
sini pada Isnin.
Majlis dimulakan dengan acara merisik diiringi dengan ucapan 
perbincangan oleh anak sulung kedua-dua pasangan itu iaitu Mohd Daniel, 
21, bagi pihak ayahnya iaitu Eddie dan Puteri Suraya Mohd Jalani, 28, 
mewakili Raja Azmi.
Pada majlis tersebut pihak lelaki menyerahkan tiga  dulang hantaran yang berupa buah-buahan, manisan dan coklat serta telekung.
Manakala pihak perempuan membalas dengan  dulang hantaran terdiri 
daripada jam tangan dan beg duit jenama Fossil, kemeja, kek, coklat dan 
biskut.
Eddie yang merupakan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK sudah
 pun menduda sejak lima tahun lalu selepas isterinya meninggal dunia 
pada Januari 2008.
Hasil perkahwinan pertama selain Daniel, Eddie memiliki seorang lagi anak bernama Mohd Effy,19.
Manakala Raja Azmi pula mempunyai tiga orang anak iaitu Puteri 
Suaida, 24, dan Megat Deli,  19, hasil perkahwinannya dengan jurulatih  
badminton negara, Jalani Mohamad Sidek.
Mereka bercerai dengan talak satu pada 27 Jun 2012.
Pada majlis bertunang itu, turut dilakukan ialah majlis menyarung 
cincin yang disempurnakan oleh ibu Eddie, iaitu Mariah Abu Samah.
Sementara itu, Raja Azmi  yang ditemui  bersyukur dan lega kerana majlis berkenaan berjalan lancar.
Biarpun membina hubungan istimewa dalam tempoh yang singkat sebelum 
mengambil keputusan mengikat tali pertunangan, Raja Azmi yakin lelaki 
tersebut adalah pilihan yang tepat buat dirinya.
"Kami mula berkenalan pada 15 Januari lalu. Apa yang menggembirakan 
saya, anak-anak dapat menerima hubungan ini. Mereka mahu lihat ibunya 
gembira dan saya cukup terharu.
"Walaupun perkenalan kami cukup singkat, saya yakin Eddie adalah lelaki yang sesuai buat saya," katanya.
Pasangan tersebut merancang akan bernikah pada 15 September depan.
Kumpulan CRK pernah popular dengan lagu Cinta Dan Air Mata.

No comments:
Post a Comment