Pelakon Shahrizal Jaszle mengakui semakin tertekan dengan kontroversi
yang melanda dirinya ekoran ditangkap khalwat bersama
seorang wanita
selain diasak dengan pelbagai pertanyaan daripada pelbagai pihak.
Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle, 25, berkata,
dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan
bagi memberinya ruang bermuhasabah tentang kejadian khalwat yang
menimpanya baru-baru ini.
"Terus terang saya tidak tahu lagi ingin cakap apa mengenai kes tersebut supaya masyarakat dapat memahami situasi saya.
"Saya berasa letih dengan kontroversi tersebut dan ingin berehat seketika supaya dapat menenangkan fikiran," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Shahrizal, dia juga mengambil keputusan itu selepas tidak
pernah mengambil cuti daripada berlakon sejak beberapa tahun lalu.
Pada 16 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu
kenyataan medianya mengesahkan telah menahan Shahrizal atas tuduhan
khalwat di Apartment Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi.
Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen
Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan
itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi
RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau
kedua-duanya sekali.
Kes tersebut akan disebut di Mahkamah Syariah pada 12 November depan.
Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia enggan lagi mengulas kes
berkenaan mahupun hubungannya dengan Redzwani Puteri kerana sedar
jawapannya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak.
Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada terus
bercakap tentang kes tersebut dan menunggu perbicaraan di mahkamah
penghujung tahun nanti.
"Macam-macam saya kena hentam dan pelbagai pertanyaan yang diajukan
sehingga saya tidak tahu lagi hendak menggunakan ayat apa bagi
mempertahankan diri.
"Jalan paling baik adalah berdiam diri selepas ini dan tunggu perbicaraan di mahkamah kelak," ujarnya.
Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan
mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut
dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.
No comments:
Post a Comment