Pelakon dan penyanyi, Najua P.Ramlee terharu apabila
pihak Istana Budaya menjemputnya untuk bersama-sama menjayakan Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan yang bakal berlangsung dari 30 Mei hingga 2 Jun depan.
Cucu kepada seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ini menganggap jemputan daripada pihak Istana Budaya itu adalah satu penghormatan buatnya dan ahli keluarga lain bagi mengenang karya agung datuknya dalam sebuah persembahan khas.
"Sebagai seorang cucu saya cukup berbangga dapat terlibat dalam konsert ini kerana dapat menyumbangkan sesuatu buat Allahyarham dan pelawaan daripada Istana Budaya saya sambut dengan keterujaan," jelasnya kepada mStar Online.
Konsert yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya itu akan menyaksikan Najua berduet dengan penyanyi Jamal Abdillah menerusi empat buah lagu.

Dia juga tidak mempunyai sebarang masalah terhadap pemilihan lagu kerana meminati semua karya ciptaan datuknya itu.
"Berilah lagu apa-apa pun kerana semua lagu beliau saya minat namun saya akan duduk berbincang dengan Jamal terlebih dahulu sebelum sebarang pemilihan dibuat," katanya.
Tambah Najua, dia turut berasa gemuruh dan rendah diri apabila dapat bergandingan dengan Jamal di atas pentas sama buat pertama kali.
Dalam perkembangan lain, Najua juga akan menjelajah ke seluruh Malaysia untuk pementasan teater Asmara Songsang.
Sumber
No comments:
Post a Comment