Top Blogs

Wednesday, August 15, 2012

Home » , » Harga barangan terkawal

Harga barangan terkawal


KUALA LUMPUR –
 Rata-rata peniaga pasar basah di sekitar Pasar Datuk Keramat dan Pasar Pudu di sini mematuhi arahan supaya mereka meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada 20 jenis barang kawalan yang ditetapkan......

Tinjauan Kosmo! di kedua-dua pasar itu mendapati, peniaga bukan sahaja tiada halangan untuk melaksanakan peraturan itu malah menyokong pelaksanaan peraturan berkenaan.
Seorang peniaga, Rafikah Hanum Asibuan, 43, berkata, peraturan tersebut mampu mencegah peniaga daripada menaikkan harga barangan jualan mereka secara mendadak sehingga menyusahkan orang ramai dan peniaga lain.
Katanya, jika tiada peraturan tersebut, golongan tidak bertanggungjawab, misalnya segelintir pemborong akan menaikkan harga barang yang dijual sehingga dua kali ganda.
“Sebagai contoh, limau nipis yang biasanya kami jual pada hari biasa berharga RM4 sekilogram tetapi pemborong akan mula menaikkan harganya sehingga RM6 apabila musim perayaan.
“Justeru, kawalan harga barang ini memang perlu dilakukan lebih- lebih lagi ketika Hari Raya Aidilfitri sudah semakin hampir,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Kelmarin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan syarat agar peniaga mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu pada 20 jenis barangan kawalan atau mereka bakal berdepan dengan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Akta Pencatutan 2011 jika gagal berbuat demikian.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu boleh didenda sebanyak RM10,000.
Peniaga yang menjual harga melebihi harga siling dan tidak meletakkan tanda harga pula boleh didenda RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Bagi peniaga ayam, Ibnu Railara Hanajatlara, 25, dia dan rakan-rakannya yang lain tidak berdepan sebarang masalah untuk mematuhi peraturan tersebut.
Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment

Popular Artikel dari AC

Iklan Berbayar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...