HULU SELANGOR – “Muka dia (arwah) senyum saja bila mencuba baju Melayu yang pak cik belikan,
Dia kata, pakai baju ni selesa tapi seluar panjang sikit, katanya dia nak potong nanti,” kata Omar Puteh, 64, menceritakan keceriaan arwah anaknya, Muhamad Hafiz Omar, 29, sebelum ditemui meninggal dunia bersama rakannya, Hamsi Hashim, 48, dalam kebun kelapa sawit di Jalan Baru, di sini.
Omar berkata, dia membelikan baju Melayu untuk arwah anaknya kerana kebetulan jualan murah dan boleh digunakan menyambut Aidilfitri nanti.
Bagaimanapun, dia reda setelah menerima khabar anak kesembilannya itu meninggal dunia semalam.
“Pak cik dapat tahu Uda (Mohamad Hafiz) meninggal dunia selepas membuat laporan polis bersama anak sulung pak cik (Mohamad Hatta, 48) mengenai penemuan mayat rakannya, Hamsi.
“Tapi sebelum itu, Hatta dah pergi lihat pondok itu tapi dia tidak jumpa arwah Uda sebab dia dalam pondok. Hatta cuma nampak arwah Hamsi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Menurutnya, sebelum penemuan kedua-dua mayat tersebut, saudaranya dikenali sebagai Pak Musa datang ke rumahnya, kira-kira 3 kilometer dari tempat kejadian, dengan membawa MyKad, lesen memandu dan kunci motosikal Mohamad Hafiz.
Katanya, Pak Musa menjumpai dompet anaknya hanyut di Sungai Bernam, dekat Kuala Slim kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.
“Saya rasa tak sedap hati dan menyuruh Hatta cari Uda di pondok itu. Tapi masa itu, Hatta hanya jumpa arwah Hamsi.
“Hanya selepas polis datang, baru nampak mayat Uda dalam pondok,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Suprintendan Zulkifli Bidin berkata mayat Muhamad Hafiz dan Hamsi ditemui kira-kira 4.30 petang semalam oleh seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan.
Mayat Muhamad Hafiz ditemui di dalam pondok dengan kesan kecederaan di lehernya yang dipercayai akibat disembelih manakala mayat Hamsi ditemui di luar pondok dalam keadaan terlentang dengan kesan kecederaan di kepalanya yang dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.
“Kami percaya kedua-dua mereka tinggal di pondok itu dan merupakan penjaga kebun kelapa sawit tersebut serta ternakan yang dipelihara di situ,” katanya.
Zulkifli berkata, motif kejadian masih disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta tampil bagi membantu siasatan.
Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, bekas isteri arwah Hamsi, Rohani Nazir, 41, ketika ditemui berkata, kali terakhir dia menemui arwah pada Rabu lalu ketika datang melawat dua anak mereka.
Menurutnya, walaupun telah bercerai setahun lalu, hubungan mereka tetap baik dan arwah masih menunaikan tanggungjawabnya memberi nafkah.
“Saya baru saja sambut hari lahir anak kedua saya, Shahrizal Hamsi (adik), 8, tengah hari tadi (semalam) walaupun tarikh lahirnya, 13 Julai nanti.
“Adik kata dia memang nak bagi kek pada ayahnya, tapi tidak sempat kerana dia sudah tiada,” katanya.
Rohani bagaimanapun reda di atas kejadian yang menimpa bekas suaminya.
No comments:
Post a Comment