Iman Nabila iaitu Shuhaimi Lua Abdullah
menganggap kontroversi penangkapan khalwat pelakon utama drama
tersebut, Shahrizal Jaszle tidak akan menjejaskan rating karya berkenaan
yang bakal bersiaran pada Isnin ini.
Pengarah drama
Shuhaimi berkata, masyarakat sekarang sudah pandai membezakan hal-hal peribadi dan juga perkara lain membabitkan kerja.
"Saya tidak risau tentang rating kerana saya tahu masyarakat dan
penonton sekarang sudah cerdik untuk membezakan hal peribadi dan hiburan
serta kerja.
"Bagaimanapun kita juga tahu biasanya kontroversi sedikit sebanyak
juga akan beri impak sama ada positif ataupun negatif," katanya ketika
dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Drama Iman Nabila akan bersiaran menerusi slot Azalea di TV3 bermula 10 Jun ini terbitan Suhan Movies Productions.
Pada 16 Mei lalu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menahan
Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, di sini,
pada pukul 3.30 pagi.
Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen
Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan
itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi
RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau
kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu Shuhaimi berkata, biarpun berita kejadian ditangkap
khalwat itu tersebar pada hari pertama penggambaran drama tersebut
dilakukan, Shahrizal tidak menunjukkan rasa tertekan dengan permasalahan
yang menimpanya.
"Saya puji sikap profesional Shahrizal yang tetap menjalankan
tugasnya dengan baik. Dia langsung tidak menunjukkan rasa tertekan di
set penggambaran," ujarnya.
Ditanya tentang tindakan terhadap Shahrizal dengan kontroversi
tersebut, Shuhaimi berkata pihak stesen televisyen TV3 dan produksi
Suhan Movies tidakmengeluarkan apa-apa arahan tentang perkara itu.
"Saya agak bimbang ketika kejadian ini berlaku kalau-kalau pihak TV3
dan Suhan Movies hendak tukar pelakon kerana ia agak mengganggu tumpuan
saya kerana bukan senang untuk mendapatkan pelakon pengganti.
"Lagi pula dalam hal ini, Shahrizal belum lagi disahkan bersalah kerana kesnya belum lagi dibicarakan di mahkamah," katanya.
Drama 16 episod ini mengisahkan tentang konflik kekeluargaan dan kasih sayang seorang nenek terhadap cucunya.
Demi harta dan wasiat, nenek tersebut sanggup membeli seorang bayi lelaki bagi mewarisi harta menantunya itu.
Selain Shahrizal, drama ini turut membariskan pelakon-pelakon hebat
seperti Faeza Ul Haq, Aida Khaleeda, Kuza, Fazlina Ahmad Daud, Wan
(Shades), Mahmud Ali Basha serta pendatang baru Faiz Fadzil dan Zuan
Azhar.
No comments:
Post a Comment