BESUT -
Dua bahagian rumah di Kampung La, Hulu Besut di sini rosak teruk
akibat hanyut dibawa arus deras ketika banjir melanda kawasan itu
petang semalam.Dua rumah itu yang terletak di tepi jalan utama antara Jerteh ke Keruak, Hulu Besut iaitu berhampiran Sungai Besut, dihanyutkan kira-kira 30 meter dari tapak asalnya.
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Hulu Besut Nawi Mohamad berkata separuh rumah kepunyaan Zakaria Ibrahim dihanyutkan arus deras manakala seorang lagi mangsa, Abdul Razak Abas dihanyutkan bahagian dapur rumahnya.
Katanya air mulai naik dan memenuhi sekitar Kampung La sekitar 12 tengah hari semalam dituruti arus deras akibat limpahan air Sungai Besut kira-kira sejam kemudian.
"Nasib baik semasa bahagian kedua-dua rumah itu hanyut tuan punya sebuah rumah berkenaan (Zakaria) sempat menyelamatkan diri manakala Abdul Razak pula berada di pusat pemindahan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya ekoran banjir tersebut sebanyak 75 keluarga terpaksa dipindah membabitkan 250 orang.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung La, Zakaria Musa yang dihubungi berkata air mulai surut 2 pagi tadi dan sehingga pagi ini terdapat 150 mangsa masih berada di pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung La.
Katanya penduduk kini sibuk mencuci rumah masing-masing yang dimasuki lumpur ekoran banjir semalam.
Sementara itu tinjauan Bernama di sekitar Jerteh mendapati beberapa buah kampung di sekitar Lubuk Kawah, Jerteh dan Kampung Lampu, Kuala Besut kini dilanda banjir apabila air mulai turun dari Hulu Besut melalui Sungai Besut
No comments:
Post a Comment