KUALA LUMPUR –
Rata-rata peniaga pasar basah di sekitar Pasar Datuk
Keramat dan Pasar Pudu di sini mematuhi arahan supaya mereka meletakkan
tanda harga berwarna merah jambu pada 20 jenis barang kawalan yang
ditetapkan......
Tinjauan Kosmo! di kedua-dua pasar itu mendapati, peniaga bukan
sahaja tiada halangan untuk melaksanakan peraturan itu malah menyokong
pelaksanaan peraturan berkenaan.
Seorang peniaga, Rafikah Hanum Asibuan, 43, berkata, peraturan
tersebut mampu mencegah peniaga daripada menaikkan harga barangan jualan
mereka secara mendadak sehingga menyusahkan orang ramai dan peniaga
lain.
Katanya, jika tiada peraturan tersebut, golongan tidak
bertanggungjawab, misalnya segelintir pemborong akan menaikkan harga
barang yang dijual sehingga dua kali ganda.
“Sebagai contoh, limau nipis yang biasanya kami jual pada hari biasa
berharga RM4 sekilogram tetapi pemborong akan mula menaikkan harganya
sehingga RM6 apabila musim perayaan.
“Justeru, kawalan harga barang ini memang perlu dilakukan lebih-
lebih lagi ketika Hari Raya Aidilfitri sudah semakin hampir,” katanya
kepada Kosmo! di sini semalam.
Kelmarin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan syarat agar peniaga mempamerkan tanda
harga berwarna merah jambu pada 20 jenis barangan kawalan atau mereka
bakal berdepan dengan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Akta
Pencatutan 2011 jika gagal berbuat demikian.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peniaga yang
gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu boleh didenda
sebanyak RM10,000.
Peniaga yang menjual harga melebihi harga siling dan tidak meletakkan
tanda harga pula boleh didenda RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya
sekali.
Bagi peniaga ayam, Ibnu Railara Hanajatlara, 25, dia dan
rakan-rakannya yang lain tidak berdepan sebarang masalah untuk mematuhi
peraturan tersebut.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment