Kabinet baru Syria mengadakan mesyuarat
tergempar semalam selepas Perdana Menteri, Riad Hijab berpaling tadah
dan mengecam Damsyik sebagai 'rejim pengganas...
White House pula menganggap pengkhianatan itu menunjukkan kerajaan Presiden Bashar al-Assad sedang 'runtuh dari dalam'.
Tetapi, Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zoubi berkata, hanya Hijab
yang tidak menghadiri sidang tergempar itu dan menolak laporan yang
menyatakan terdapat menteri lain yang berpaling tadah.
Pengganti Hijab, Omar Ghalawanji yang mengetuai mesyuarat tersebut
turut menegaskan semua menteri menghadiri sidang tergempar itu.
Wakil BBC, Jim Muir yang berada di negara jiran Lebanon
berkata, media kerajaan turut membuat laporan yang menggambarkan keadaan
Damsyik seperti biasa.
Aktivis pembangkang sebelum ini menyatakan, ekoran tindakan Hijab
itu, dua lagi menteri akan berpaling tadah, tetapi menteri ketiga yang
berbuat demikian iaitu Menteri Kewangan Mohammad Jalilati telah ditahan
ketika cuba melarikan diri.
Zoubi, bagaimanapun cuba meredakan kesan daripada pengkhianatan Hijab
itu dan menafikan terdapat menteri lain yang berpaling tadah.
"Kami tidak ada dengar apa-apa berita daripada bekas Perdana Menteri
(Hijab) dan beliau tidak pernah muncul di kaca televisyen," katanya yang
dipetik oleh agensi televisyen kerajaan, Sana.
Menteri Kewangan Syria yang dikatakan telah membuat temu bual melalui
telefon turut menegaskan beliau masih memegang jawatan itu dan sedang
bekerja di pejabatnya.
Menteri Pembiayaan Agama, Mohammad Abdul-Sattar al-Sayyed turut menafikan beliau telah berpaling tadah
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment