Top Blogs

Tuesday, July 2, 2013

Home » » Umie Aida Mahu Anak-Anak Faham Hidup Susah

Umie Aida Mahu Anak-Anak Faham Hidup Susah

Pelakon Umie Aida tidak mahu dua orang anak angkatnya sentiasa berada dalam kehidupan selesa sebaliknya perlu bersedia untuk
melihat bagaimana kehidupan seseorang yang hidup susah.
Umie atau nama sebenarnya Umi Kalsum Rahmad Ali, 40, berkata, kerana itu dia mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak-anaknya iaitu Mohd Daniel Firdaus, 20, dan Mohd Dzulhelmy, 19, agar mengenali cara kehidupan golongan yang tidak bernasib baik.
"Sebagai pelakon saya sering membawa pelbagai watak terutamanya sebagai orang susah dan pengalaman itu banyak mengajar saya erti bersyukur.
"Dan bagi mendidik anak-anak mengenal erti kesyukuran, saya sering berkongsi cerita mengenai apa yang saya lihat dan rasai.
"Malah ada kalanya jika mempunyai masa terluang, saya akan membawa mereka ke rumah-rumah kebajikan bagi merasai sendiri suasana kehidupan bersederhana. Saya tak mahu mereka hanya tahu hidup senang sahaja," katanya.
Bagaimanapun, tambah Umie, dia bersyukur dan gembira kerana anak-anaknya itu cukup faham erti hidup dalam kesederhanaan dan tidak membangga diri dengan kemewahan yang dimiliki.
Sementara itu, pengalaman menjalani kehidupan sebagai individu yang kurang bernasib baik juga turut dirasai Umie menerusi lakonannya dalam drama berjudul Ummi yang kini sudah pun bermula siarannya di TV3, setiap Ahad, pukul 9 malam.
Umie berkata, drama arahan Faisal Ishak itu benar-benar sukar untuk dia lakonkan terutama dalam usaha menjiwai watak seorang wanita yang ditinggalkan suami dan terpaksa menjaga tiga kanak-kanak yang tiada pertalian darah dengannya.
"Sebenarnya sudah menjadi kebiasaan saya melakonkan watak-watak seorang wanita yang susah dan selalu menangis. Cuma cabarannya di sini adalah saya perlu memberi fokus pada emosi lakonan itu.
"Dalam drama itu, saya perlu mengutip sampah dan berpanas di bawah cahaya matahari. Apabila melakukan kerja-kerja itu, terdetik di hati saya, bagaimana kuatnya seseorang wanita yang melakukan kerja sebegini. Saya kagum dengan mereka. Alhamdulillah, saya dapat melakonkannya dengan baik," ujarnya.
Drama Ummi turut membariskan pelakon Khyreena Kemal (Chonel), Danish Adam (Amir) dan Ahmad Fadzli Masri (Danish).

No comments:

Post a Comment

Popular Artikel dari AC

Iklan Berbayar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...