LONDON –
Dua manusia paling kerdil di dunia dipertemukan untuk kali
pertama bagi meraikan pertubuhan yang membantu mempopularkan ‘kelebihan’
mereka, lapor media ....
Lelaki paling rendah di dunia, Chandra Bahadur Dangi, 72, bersemuka
dengan wanita paling rendah di dunia, Jyoti Amge, 18, sempena pelancaran
edisi terkini buku Rekod Dunia Guinness.
Lelaki dari Nepal dan gadis warga India itu mencuri perhatian dunia
apabila ketinggian mereka diiktiraf Rekod Dunia Guinness, baru-baru ini.
Walaupun dipisahkan jurang usia yang besar, Chandra dan Jyoti tetap
mesra bergurau dalam suasana santai ketika sesi fotografi untuk
pelancaran buku berkenaan.
Kedua-dua mereka mengenakan pakaian tradisional masing-masing. Gambar
itu juga mencipta rekod dunia tersendiri apabila – untuk kali pertama –
lelaki dan wanita paling rendah dipertemukan secara langsung. Sebuah
buku terkini Rekod Dunia Guinness yang diletakkan di antara Chandra dan
Jyoti menyebabkan naskhah itu menjadi luar biasa besarnya walaupun pada
hakikatnya, ia hanya setinggi kira-kira 30.5 sentimeter.
Jyoti – berasal dari Nagpur, India – mendapat pengiktirafan itu pada
hari dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-18, pada 16 Disember tahun
lalu.
Jyoti menghidap masalah tumbesaran, dikenali sebagai Achondroplasia, menyebabkan saiz badannya kekal setinggi 78.8 sentimeter.
Di sebalik keunikan itu, Jyoti menyimpan cita-cita tinggi dalam bidang hiburan dan mula membintangi beberapa filem Bollywood.
Dia dijadual melawat Britain bagi membantu pelancaran buku Rekod
Dunia Guinness, bulan depan. Kata Jyoti, dia tidak sabar membuat
kunjungan ke Britain. “Saya suka mengembara dan sejak mendapat
pengiktirafan Guinness, saya berpeluang melawat banyak negara luar
seperti Jepun dan Eropah,” katanya. Sementara itu, Chandra amat teruja
apabila namanya tercatat dalam buku rekod dunia kali ini. “Ia jadi
kebanggaan kepada saya, keluarga, kampung dan negara,” katanya.
Dia dibesarkan di Kampung Rhimkola, 250 kilometer di barat Kathmandu
sebelum keunikan fizikalnya dikesan dan mendapat pengiktirafan, Februari
lalu. Chandra meninggalkan kampungnya untuk kali pertama dalam hidupnya
apabila mengunjungi Kathmandu bagi membolehkan badannya diukur pegawai
Rekod Dunia Guinness.
Dengan ketinggian 54.6 sentimeter, Chandra juga dianggap lelaki paling rendah dalam sejarah. – DM
No comments:
Post a Comment