Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, 39, menerima ancaman bunuh oleh dua individu melalui laman YouTube gara-gara sebuah video nyanyiannya bertajuk 'Reformasi'
yang telah dimuat naik di laman berkenaan.
Memetik laporan Sinar Harian, Yasin berkata, ugutan bunuh yang diterima melalui video lagunya itu membuktikan ada pihak tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan medium sosial tersebut.
 
“Perselisihan pendapat adalah perkara biasa dan sebelum ini saya pernah menerima pelbagai pandangan negatif. Namun ugutan bunuh adalah perkara serius.
 
“Saya tidak pasti sejauh mana seriusnya ugutan yang dibuat itu, namun saya tidak akan berdiam diri jika ia berterusan selepas ini,” ujar Yasin yang tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.