KUPANG - 
Seorang pemandu lori tergamam selepas diberitahu lori yang 
diparkir di tepi jalan bergerak sendiri sebelum terbalik di bahu jalan 
berdekatan stesen minyak Kampung Sadek kira-kira jam 12.00 tengah malam, semalam.
Pemandunya, Hamzah Razali, 49, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah dan hanya mengetahui perkara itu setelah diberitahu rakannya.
Menurutnya, lori itu bergerak hampir 100 meter dari tempat parkir sebelum terjunam dan terbalik di bahu jalan.
“Namun, tiada sebarang kecederaan yang berlaku dan lori saya hanya mengalami kerosakan kecil akibat terjunam di bahu jalan yang curam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, lori dengan muatan siling kapur itu akan dihantar ke Kuala Terengganu dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Kebanyakan siling kapur turut rosak dan saya telah memaklumkan perkara itu kepada pihak majikan untuk tindakan sepatutnya,” katanya.
Katanya, dia tidak menolak kemungkinan berlakunya masalah teknikal sehingga mengakibatkan lori tersebut bergerak sendiri.
“Bagaimanapun, nasib baik tiada perumahan di kawasan itu. Sekiranya ada, pasti akan berlaku perkara yang lebih buruk.
“Tambahan pula, jalan di sini agak curam dan sememangnya akan memberikan kesan buruk sekiranya lori dengan muatan ini merempuh kawasan perumahan,” katanya.
Hamzah yang mempunyai enam orang anak berkata, dia baru memulakan tugas sebagai pemandu lori dengan syarikat berkenaan.
“Sebelum ini, saya bekerja sebagai pemandu lori di syarikat pengangkutan lain dan tidak pernah pula mengalami kejadian seperti ini,”
Sumber

No comments:
Post a Comment