![]() |
Penyanyi terkenal, Justin Bieber berlepas pulang dari Eropah ke
kediamannya
kelmarin sebelum dia terlibat dalam pertengkaran
dengan salah seorang jirannya.
Ia merupakan salah satu insiden terbaharu yang pelik berlaku dalam kehidupan penyanyi itu.
Jurucakap syerif di daerah Los Angeles, Steve Whitmore berkata,
beberapa anggota pihak berkuasa telah dipanggil ke rumah Bieber yang
berusia 19 tahun itu di Calabasas, California pada waktu pagi selepas
seorang jirannya mendakwa dia diancam dan diserang oleh penyanyi
berkenaan.
Menurutnya, satu laporan polis yang mendakwa Bieber melakukan ancaman dan serangan itu telah difailkan dan kini sedang disiasat.
Berdasarkan undang-undang negeri California, serangan itu dikategorikan sebagai melakukan sentuhan dan meludah.
Dakwaan tersebut dikemukakan selepas penyanyi lagu Boyfriend itu berlepas pulang dari Poland.
Bieber mengejutkan sekumpulan jurugambar dan pegawai di Lapangan
Terbang Lodz Wladyslaw Reymont di Lodz, Poland dengan menanggalkan baju
dalam cuaca yang sejuk semasa dia berjalan melalui pemeriksaan kesihatan
untuk menuju ke jet peribadinya.
Sebelum ini dia lewat tiba untuk membuat persembahan di London dan memakai topeng gas semasa keluar pada waktu malam.
Satu sumber yang rapat dengan Bieber menyatakan, pertengkaran
tersebut berlaku selepas jirannya itu datang untuk mengadu bunyi bising
ekoran parti yang berlangsung di rumah penyanyi tersebut.
Menurut sumber, berlaku pertikaman lidah tetapi tiada sentuhan fizikal berlaku, kata sumber berkenaan.
Portal hiburan TMZ.com melaporkan, perbalahan itu berlaku
ekoran Bieber melakukan provokasi kerana dia memandu kereta baharu
Ferrari di jalan raya dengan laju pada waktu awal pagi Selasa lalu.
Bagaimanapun, sumber-sumber penyanyi itu menafikan dakwaan tersebut.
Setakat ini tiada tangkapan yang dibuat pihak berkuasa berhubung kejadian itu.
No comments:
Post a Comment