Teka-Teki mengenai siapakah pengganti Adlin Aman Ramli sebagai pengarah
teater Tun Siti Hasmah telah pun diketahui bila Eirma Fatima
diumumkan bakal mengarah teater tersebut....
Namun, tidak sampai sebulan sahaja lagi teater itu bakal dipentaskan,
pelakon utamanya, Erra Fazira mengakui masih belum menerima skrip
daripada pihak produksi.
Mengakui belum membuat persediaan untuk naskhah ulung mantan wanita
pertama negara itu, Erra tidak menafikan kerisauannya semasa pementasan
tersebut.
“Saat diberitahu akan membawakan watak Tun Siti Hasmah, saya rasa
benar-benar teruja dan gementar kerana bukan calangcalang watak yang
diberikan kepada saya.
“Namun bila sehingga kini masih tidak mendapat skrip lagi, saya
sendiri tidak membuat sebarang persediaan kecuali semasa pertemuan yang
diatur bersama Tun.
“Ketika itu, sempatlah saya bertanyakan beberapa soalan bagi mendalami
karakter sebenar Tun,” katanya yang ditemui semasa majlis berbuka puasa
anjuran Astro di Royale Bintang Damansara, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Erra tidak menyalahkan Eirma kerana sedia maklum dengan
status ‘bidan terjunnya’ sebagai pengarah teater tersebut.
“Kak Erma sendiri baru mendapat tahu perlu menggantikan Adlin untuk
mengarah teater ini. Jadi, saya tidak salahkan dia kerana sudah tentunya
sebagai pengarah, dia ingin menzahirkan sesuatu yang bagus.
“Biarpun sebagai pengganti, tentu Kak Eirma mahu berikan yang terbaik dan ambil masa buat persediaan,” katanya.
Bagaimanapun ketika ditanya, apakah dia akan menarik diri daripada
teater tersebut, sambil tersenyum Erra berkata, dia tidak mempunyai
pilihan lain.
Menurutnya, mengenangkan teater itu merupakan projek rakan baiknya, Datin Paduka Umie Aida, jadi dia akan berpegang pada janji.
“Meskipun risau bagaimana untuk mementaskan teater ini, namun
mengenangkan ini merupakan projek rakan baik, Erra akan berpegang pada
janji.
Sumber : Sinar
No comments:
Post a Comment