LONDON -
Sukan Olimpik London ditutup dengan penuh warna-warni semalam selepas dua minggu menjadi tuan rumah kepada sukan terulung di dunia itu yang turut disaksikan jutaan penonton seluruh dunia.
Presiden Olimpik, Jacques Rogge memuji temasya di London sebagai berjaya dianjurkan dalam suasana yang penuh meriah dan gemilang......
Sukan Olimpik 2012 menutup tirai dengan upacara persembahan selama tiga jam yang diserikan dengan persembahan kumpulan rock Britain, The Who di Stadium Olimpik London.
"Melalui komitmen fairplay, rasa hormat kepada lawan dan sanggup menerima kekalahan serta kemenangan, anda berhak untuk bergelar Olimpian. Temasya ini dilangsungkan dengan penuh meriah dan gemilang," kata Rogge.
Kumpulan Spice Girls, George Michael, legenda bola sepak Brazil, Pele dan lebih 4,000 peserta terlibat mengadakan persembahan dan memukau 80,000 penonton di Stadium Olimpik.
Pada upacara penutup semalam, bendera Olimpik diserahkan kepada Datuk Bandar Rio de Janeiro sebagai simbolik bahawa Olimpik 2016 akan dilangsungkan di bandar Brazil itu empat tahun lagi.
Kehadiran jaguh pecut dunia, Usain Bolt, perenang, Michael Phelps dan atlet kebanggaan Britain, Jessica Ennis di Olympic Park membuatkan para peminat bertambah teruja untuk menyaksikan kehebatan mereka.
Amerika Syarikat mengungguli pungutan pingat dengan 46 pingat emas, lapan emas mengatasi China manakala Britain merangkul 29 emas, iaitu yang terbaik sejak 1904. Olimpik kali ini juga buat pertama kali menampilkan sekurang-kurangnya seorang atlet wanita dalam setiap kontinjen.
Selepas 16 hari pertandingan, 302 juara Olimpik dinobatkan dan 46 rekod dunia dipecahkan.
Sumber : utusan
No comments:
Post a Comment