Gara-gara mencuri duit tabung masjid sebanyak RM5 dengan alasan untuk dijadikan modal mencari pekerjaan lain, seorang penganggur terpaksa meringkuk dalam penjara selama sebulan.
Majistret Surya Wati Shawal menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhaimi Ibrahim, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Surya Wati memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh Suhaimi ditangkap pada 7 Julai lalu.
Dia didakwa mencuri lima keping wang kertas RM1 daripada tabung milik Masjid Abu Bakar As Siddiq yang beralamat Jalan SS 19/7 Subang Jaya di sini, pada pukul 2.45 pagi, 7 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Suhaimi yang tidak diwakili oleh peguam menyatakan dia insaf serta bertaubat atas perbuatannya dan memohon dikenakan hukuman ringan.
Sumber : utusan
No comments:
Post a Comment